Seorang pengguna laman sosial Facebook yang menggunakan akaun bernama Nur Fazura memuat naik satu klip video menunjukkan seorang warga emas yang didakwanya cuba menipu orang ramai, dengan berlagak sebagai orang miskin dan meminta sedekah, tetapi sebenarnya dia membeli minuman keras menggunakan wang yang disedekahkan kepadanya.
Berdasarkan klip video selama 2 minit 33 saat itu, warga emas yang mungkin sudah menjangkau usia lebih 60 tahun itu, kelihatan memasuki keretanya yang diletakkan di bahu jalan, lalu didekati lelaki yang merakamkan klip video berkenaan.
Mengikut jalan ceritanya, warga emas berkenaan sebelum itu singgah di sebuah kedai serbaneka di Damai Utama, Puchong, dipercayai untuk membeli minuman keras.
Seorang lelaki yang memandu sebuah kereta lain berhenti di sebelah kereta warga emas berkenaan dan kemudian meluru ke sebelah kiri pemandu kereta warga emas itu.
Menerusi rakaman perbualan dalam klip video itu, lelaki berkenaan telah mengekori kereta yang dipandu warga emas terbabit sejauh 5 kilometer dari Bandar Kinrara, apabila curiga dengan sikap lelaki tua itu, selepas menderma RM30 kepadanya, kerana simpati.
Pada mulanya, warga emas berkenaan dikatakan telah berjumpa lelaki tersebut dan menagih simpati bagi mendapatkan wang, dengan alasan mahu mengisi minyak kereta untuk pergi ke Seremban, bagi melihat isterinya yang mati, akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya.
Malah, bagi meyakinkan lelaki itu, warga emas terbabit telah menangis teresak-esak sambil mengesat air matanya, menyebabkan lelaki tersebut bersimpati dan menghulurkan wang kepadanya.
Bagaimanapun, segalanya terbongkar, selepas lelaki tersebut mengekorinya dan seterusnya merakam perbualan dengan warga emas berkenaan yang turut mengakui sering berkunjung ke kedai serbaneka itu untuk membeli minuman keras.
Video berkenaan kemudiannya dimuat naik ke Facebook, dengan niat agar orang ramai di sekitar Bandar Kinrara, berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang tidak mudah tertipu dengan sandiwara warga emas terbabit.
Video itu tersebar luas dan menjadi viral di laman sosial itu, selepas ditonton lebih 60,472 kali serta mendapat pelbagai komen.
Ada di antara mereka yang tidak bersetuju dengan tindakan lelaki itu.
Pemilik akaun Facebook bernama Latiefah Yacob menulis: “Sebenarnya saudara telah dapat pahala dengan bersedekah kepada orang tua Cina tu, tak perlu nak mengambil tahu dia tipu ke, beli arak ke, kerana niat anda bersedekah telah mendapat pahala, sikap menghormati antara satu sama lain adalah budaya setiap kaum yang semestinya ditonjolkan, bukannya dengan meninggikan suara.”
Komen Latiefah itu disokong seorang pengguna Facebook yang mengulas: “Senang cerita, tak payah ragu-ragu bila bagi duit pada orang…apa dia nak buat terpulang padanya. Cukuplah sekadar bagi sedekah yang memerlukan…ragu-ragu tu pun dah kira macam ‘kurang’ ikhlas…tak perlu sampai ikut orang tu…jujur saya cakap, walaupun pak cik ni salah, tapi saya lebih sokong pakcik ni…maaf kerana kata begitu.”
Namun ada juga yang menyokong.
Pemilik akaun Facebook bernama Yeen Mazlan menulis: “Setuju dengan pemuda ini. Memang nampak kasar cara penyampaiannya. Tapi, cuba faham balik apa intipati yg cuba disampaikan. Siapa tahu dengan cara macam ini, boleh terbuka hati orang tua tu. Apa pun, jadikan video ini sebagai pengajaran dalam kehidupan kita juga. Terpulang kepada kita nak adili pasal pemuda ini, video yang dia rakam ni, dengan pakcik dalam video ni. kalau kita adili yang baik, maka baiklah jadinya. kalau buruk, buruklah jadinya.”
Berikut adalah pautan video berkenaan:
Read more: http://bm.therakyatpost.com
0 Response to "VIDEO WARGA EMAS TIPU WANG SEDEKAH."
Post a Comment