Kuala Pilah: Murid tahun satu, Muhammad Daniel Haiqal Abu Hurairah, 7, tetap bersemangat untuk meneruskan persekolahannya walaupun terpaksa mengikuti sesi pembelajaran secara bersendirian di kelas.
Dia satu-satunya murid tahun satu yang mendaftar di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Ambor, Juasseh, dekat sini bagi sesi 2015 yang bermula hari ini.
Menurutnya ibunya Norfazilah Mat Aripin, 33, dia tidak menyangka dan terkejut apabila dimaklumkan bahawa anaknya menjadi murid tunggal tahun satu di sekolah itu.
Katanya, dia menganggap ia cabaran kepada Muhammad Daniel Haiqal dan yakin pengalaman selama dua tahun ketika menuntut di prasekolah akan memberikan pengalaman kepada anaknya untuk mengharungi situasi di dalam kelas.
“Alhamdulillah, saya lihat dia tidak menghadapi masalah dan Daniel juga sudah pandai membaca. Semua ini berkat menuntut di prasekolah ketika berusia lima dan enam tahun di SK Juasseh Tengah,” katanya ditemui di SK Pasir Ambor, di sini.
Sementara itu, Guru Besar SK Pasir Ambor, Nasarudin Zainal berkata, ini kali kedua sekolahnya menerima hanya seorang murid tahun satu dan kali pertama pada 2007.
“Pada tahun ini, jumlah keseluruhan pelajar di sekolah ini adalah seramai 39 orang berbanding pada tahun lalu seramai 40 orang, manakala murid tahun satu pada tahun lalu seramai tujuh orang berbanding hanya seorang pada tahun ini,” katanya.
0 Response to "Mohd Daniel Murid Tunggal Darjah Satu."
Post a Comment